Bergantung kepada situasi tempat pekerjaan, ibu boleh cuba mengatur perancangan bagaimana untuk meneruskan penyusuan semasa sedang bekerja. Berikut adalah contoh perancangan yang boleh dibuat:
1. Sekiranya pejabat tersebut mempunyai pusat penjagaan bayi, ibu bolehlah pergi kepada bayi semasa waktu rehat untuk menyusukan sendiri bayinya. Dengan cara ini, ibu tidak perlu memerah susu semasa waktu bekerja. Walau bagaimanapun, ibu masih perlu meninggalkan sedikit bekalan susu perahan kepada penjaga bayi, sekiranya ibu mempunyai kecemasan seperti mesyuarat gempar dan tidak dapat memberikan susu tepat pada waktunya.
2. Sekiranya tempat bekerja tersebut mempunyai jadual waktu bekerja yang tetap dan mempunyai waktu rehat yang tertentu, ibu bolehlah menggunakan peluang ini untuk memerah susu. Fikirkan juga tempat yang sesuai untuk memerah susu – carilah bilik yang bersih seperti surau, bilik stor atau tandas yag bersih untuk memerah susu sekiranya ibu tidak mempunyai bilik perseorangan di pejabat.
3. Sekiranya ibu bekerja sendiri dan boleh membawa bayi bersama penjaga bayi ke tempat bekerja, ibu bolehlah membuat kerja sambil bayi dijaga oleh penjaganya. Apabila sampai waktu menyusu, ibu boleh berhenti sekejap dan menyusukan bayinya.
4. Bagi sesetengah tempat bekerja yang amat ketat waktu bekerjanya, cuba cadangkan tentang pengubahsuaian waktu bekerja. Contohnya, ibu boleh datang setengah jam awal dari waktu bekerja biasa dan pulang lewat setengah jam dari waktu biasa. Sebagai pulangan ibu boleh mendapat dua pelepasan setengah jam waktu bekerja: sekali di waktu pagi dan sekali di waktu petang. Ini membolehkan ibu mendapat 3 kali waktu pelepasan termasuk waktu tengahari. Waktu pelepasan ini, boleh digunakan untuk memerah susu atau pergi ke tempat penjagaan bayi (jika berdekatan).
5. Bagi sesetengah ibu mereka terpaksa bekerja untuk tempoh waktu yang amat panjang. Jururawat sering menghabiskan masa antara 10 ke 12 jam di dalam wad yang amat sibuk. Pramugari yang sering terbang selama beberapa hari dan tidak berkesempatan memerah susu. Untuk ibu-ibu sebegini, perancangan awal perlu dibuat terutama semasa di dalam cuti pantang lagi. Ibu boleh mula menyimpan bekalan susu secukupnya untuk tempoh waktu bekerja yang panjang. Selalunya, mereka ini, diberikan waktu rehat yang panjang setelah selesai setiap rutin kerja. Gunakan waktu rehat ini, untuk menambah bekalan susu di dalam simpanan. Sepanjang waktu bekerja, jika tidak berkesempatan memerah susu, gunakan waktu pergi ke tandas untuk memerah sedikit
susu untuk meredakan bengkak payudara.
*Payudara ibu mudah untuk mengadaptasi. Walaupun waktu bekerja ibu tidak menentu, bekalan susu tetap dapat dihasilkan apabila penyusuan diteruskan pada hari-hari yang kurang sibuk.
No comments:
Post a Comment